28 Mei 2014

Gurindam Pantun



Gurindam pantun pustaka bangsa
adat berzaman dahulu kala
di dalamnya terpetik mutiara selaksa
tidak senilai emas permata

Emas permata kemegahan dunia
menjadikan insan lupa segala
jika tiada ilmu di dada
terasa hidup tidak bermaya

Menuntut ilmu tiada penamatnya
pentas terbuka gelanggang sedunia
tiada berguna ilmu berjuta
ijazahnya hanya iman & takwa

Adik-adik rangkaian jiwa
pesan guru tambatkan di dada
ayah & ibu jangan dilupa
kerana di situ mahligai sukma

Cinta yang satu hanyalah Dia
Allah yang Esa yang Maha Kaya
cinta kedua kepada rasul-Nya
pasti hidup aman bahagia

Jika ada seuntas kata
seulas hati seuntai jiwa
kepada bonda serta ayahanda
menduduki tahap cinta ketiga

Cinta keempat adalah ilmu
tempat kita selalu bertemu
Allah & Rasul itulah restu
barulah cinta dapat bersatu

Makam guru itulah sendu
makam ibu itulah ratu
di situlah bergabung cinta yang padu
barulah cinta dapat bertemu

Makam cinta di dalam hakikat
makam hakikat adalah syariat
di dalam syariat adanya syarat
barulah hidup mendapat berkat

Guru-guru mustika hati
tempat menghibur hati yang sepi
jika terpisah walau sekali
terasa hidup tidak bererti

Masih terngiang setiap hari
pesan ibu guru sejati
tuntutlah ilmu ke mana kaupergi
barulah hidup penuh bererti:

bercintalah semahu-mahumu
tetapi pastikan cintamu kepada Ilahi
mengatasi segala-galanya

perbuatlah apa saja semahu-mahumu
tetapi ingatlah kaupasti akan mati
dan mati itulah permulaan hidupmu
yang sebenar”

Menuntut ilmu amalan mulia
amalam hidup insan sejahtera
jika kaugugur ketika di sana
tercatat tertulis sebagai syuhada

Pesan guru daku sematkan
wasiat ibu daku pahatkan
menjadi azimat zaman berzaman
sebagai nakhoda dalam perjalanan.

  
25 Mac 1996 – 5 Zulkaedah 1416
Teratak Seni, Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan